Halaman

Bulan Muharram : Siri 2

Posted on 16.12.10 by MUHAMMAD 'IMADUDDIN

Sejarah Puasa 'Asyura

Daripada ‘Aisyah r.’anha:-

Ertinya :- “Ketika Jahiliyyah, orang-orang Quraisy berpuasa pada hari ‘Asyura, demikian juga Rasulullah SAW berpuasa pada hari tersebut, apabila baginda berhijrah ke Madinah baginda berpuasa pada hari ‘Asyura dan baginda menyuruh (orang ramai) berpuasa pada hari ‘Asyura. Apabila difardhukan Ramadhan, baginda meninggalkan (kewajipan) puasa ‘Asyura, siapa yang hendak berpuasa dia berpuasa dan siapa yang tidak mahu dia meninggalkannya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadith ini menunjukkan orang-orang Jahiliyyah telah sedia membesarkan hari ‘Asyura dengan mereka melaksanakan puasa pada hari tersebut. Demikian juga Nabi SAW berpuasa pada hari tersebut dan baginda berterusan berpuasa sehinggalah berlakunya hijrah. Selepas berlakunya hijrah baginda SAW ke Madinah, di peringkat awalnya baginda telah mewajibkan puasa pada hari ‘Asyura. Inilah pendapat yang sahih dari dua pendapat ulama berdasarkan arahan Nabi SAW. (Sila lihat Risalah fi Ahadith Syahr Allah al-Muharram, oleh al-Syeikh Abdullah bin Soleh al-Fauzan)

‘Aisyah r.’anha berkata:-

Ertinya :- “Adalah umat Islam dahulunya berpuasa ‘Asyura sebelum difardhukan Ramadhan, hari tersebut adalah hari orang-orang Jahiliyyah menyelimuti Ka’bah (dengan kain selimut), apabila Allah menfardhukan Ramadhan, Rasulullah SAW bersabda : “Siapa yang hendak berpuasa ‘Asyura, maka berpuasalah, siapa yang tidak hendak berpuasa, tinggalkanlah.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Salamah bin al-Aqwa’ (سلمة بن الأكوع) r.a. pula meriwayatkan:-

Ertinya :- “Bahawasanya Nabi SAW telah mengutus seorang lelaki, untuk menyeru manusia pada hari ‘Asyura, sesiapa yang telah makan pada hari tersebut hendaklah dia berpuasa dan siapa yang belum makan pada hari tersebut maka janganlah dia makan (teruskan berpuasa).” (Riwayat al-Bukhari)

Apabila difardhukan puasa Ramadhan pada pertengahan tahun kedua hijrah, maka dimansukhkan hukum wajib puasa pada hari ‘Asyura dan kekal hukumnya sebagai sunat. Puasa ‘Asyura ini tidak diwajibkan melainkan pada peringkat awal hijrah ialah pada tahun pertama sehingga pertengahan pertama tahun kedua hijrah. Setelah daripada itu, pada tahun kesepuluh hijrah Nabi saw berazam untuk berpuasa ‘Asyura beserta dengan hari sebelumnya iaitu hari kesembilan Muharram (التاسوعاء) agar berbeza dengan Ahli Kitab yang juga berpuasa pada hari ‘Asyura sahaja.

Kata Ibn ‘Abbas r.a. : “Ketika Nabi SAW. sampai ke madinah, baginda melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura. Lalu Baginda bersabda :-

Ertinya :- “Hari apakah ini (di sisi kamu) ?” Orang-orang Yahudi menjawab : “Hari ini adalah hari yang baik. Allah telah memenangkan padanya Musa dan Bani Israel daripada musuh mereka (Fir’aun dan kaumnya). Lalu Musa berpuasa pada hari ini (’Asyura). ”Sabda Nabi SAW : “Aku lebih berhak ke atas Musa berbanding kamu semua (orang-orang Yahudi). ” Lalu baginda berpuasa pada hari tersebut (’Asyura) dan mengarahkan (para Sahabat) berpuasa padanya.” (Riwayat al- al-Bukhari dan Muslim)

Dari Ibn ‘Abbas r.a. katanya :-

Ertinya :- “Ketika Nabi s.a.w. berpuasa pada hari ‘Asyura, dan baginda menyuruh para sahabat berpuasa padanya. ”Para Sahabat berkata : “Wahai Rasulullah, sesungguhnya hari itu hari yang dibesarkan oleh orang-orang Yahudi dan Nasara.” Lalu Sabda Nabi SAW : “Maka pada tahun hadapan insya-Allah kita akan berpuasa (bermula) pada hari kesembilan.” Lalu Ibn ‘Abbas menceritakan : “Tidak sempat datang tahun hadapan, Nabi s.a.w. diwafatkan (oleh Allah SWT).” (Riwayat Muslim dan Abu Daud)


Sumber
: Risalah fi Ahadith Syahr Allah al-Muharram, al-Syeikh Abdullah bin Soleh al-Fauzan.

: Mohamad Abdul Kadir bin Sahak


Anda ingin download risalah ini sila klik di butang download yang telah disediakan :-

Mimbar Jumaat