Halaman

Bunian dan Khurafah?

Posted on 2.6.12 by MUHAMMAD 'IMADUDDIN

Bunian

Allahyarham Tan Sri P. Ramlee pernah memfilemkan perihal masyarakat Bunian. Makhluk ini dikaitkan dengan suatu perkampungan atau penempatan seperti manusia. Mereka turut berumah tangga, beranak pinak dan hidup bermasyarakat.

Bunian tergolong dalam makhluk halus kerana hadith Rasulullah SAW menyebut bahawa terdapat makhluk halus yang suka tinggal bersama manusia dalam rumah manusia, malah mereka suka mencari tempat yang tidak berjauhan daripada perkampungan manusia. Golongan Bunian ini disebut oleh Rasulullah SAW sebagai 'Amir atau 'Umar yang tinggal berhampiran dengan manusia.


Khurafah

Pada zaman Rasulullah ada seorang sahabat yang bernama Khurafah didapati hilang secara tiba-tiba. Keluarganya bertemu Rasulullah SAW menceritakan perihal kehilangan Khurafah Tidak berapa lama selepas itu, Khurafah muncul semula dan menceritakan mengenai pengalamannya membunuh seekor ular hitam, tiba-tiba beliau tidak sedarkan diri. Apabila tersedar, dia dapati berada dalam masyarakat seperti manusia tetapi penuh dengan keganjilan.


Pengadilan di alam lain

Khurafah dituduh membunuh salah seorang daripada orang penting dalam masyarakat itu dan mereka menuntu dia dibalas bunuh. Khurafah dibicarakan dalam mahkamah yang telus, mempunyai sistem keadlan yang hampir sama dengan manusia, dengan menggunakan peguam bela dan sebagainya.

Khurafah dibela oleh seorang peguam dan mengemukan hujah dan berkata : "Khurafah tidak boleh dipersalahkan kerana dia membunuh salah seorang anggota daripada masyarakat kita (Bunian) yang menyerupai ular, sedangkan ular adalah musuh utama manusia. Maka Khurafah membunuh ular, bukanlah berniat membunuh orang kita (Bunian) tetapi membunuh musuh di alamnya". Maka dengan itu Khurafah dibebaskan dan dihantar balik ke alamnya.


Pertikaian ke atas Khurafah

Apabila berita ini disampaikan kepada Rasulullah, ramai para sahabat mempertikaikannya. Rasulullah SAW berkata :-



Ertinya : "Khurafah (bercakap) benar... [1]

Bagaimanapun dalam masyarakat kita, apabila dirujuk tentang cerita-cerita ganjil dan tidak masuk akal, kita menggelarnya Khurafat. Asal istilah Khurafat itu adalah kisah benar daripada individu yang bernama Khurafah.


Kaitan Bunian dengan Manusia

Melihat perkara yang berlaku ini mungkin boleh samakan dengan masyarakat Bunian. Ertinya mereka boleh melakukan sama seperti dalam kisah Khurafah tersebut.

Masyarakat Bunian adalah satu kelompok masyarakat jin atau syaitan. Daripada cerita yang menyentuh perihal Bunian, perkara ini menjadi satu lagenda masyarakat Melayu. Sehingga kini masyarakat Bunian dikaitkan dengan masyarakat yang beragama yang melaksanakan aktiviti-aktiviti keagamaan seperti mendirikan masjid, surau, melaungkan azan, mengaji al-Quran dan sebagainya.


Kaitan Masyarakat Bunian dengan Jin Islam

Islam mangakui jin islam . Hal ini disebutkan dalam surah al-Jin. Surah tersebut menyebut bahawa jin mengakui mendengar al-Quran yang penuh dengan keajaiban menunjuk jalan yang lurus dan mereka telah beriman. Jin juga mengaku daripada kalangan mereka ada yang Islam dan ada yang Kafir. Oleh itu, memang ada kemungkinan masyarakat Bunian ini seperti yang didakwa merupakan sebuah masyarakat beragama.


Kesimpulan

Dalam masyarakat manusia contohnya, ada yang tidak Islam. Sehinggakan dalam masyarakat awal Islam pada zaman Rasululah di Madinah, itupun wujud golongan munafiq daripada kalangan orang Islam. Seperti dalam masyarakat kita hari ini juga wujud golongan tidak Islam, Islam fasik, Islam munafiq dan sebagainya. Tidak mustahil masyarakat Bunian sama seperti masyarakat manusia.

Sumber : Buku Menjawab Persoalan Makhluk Halus; Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din.


------------------------------

[1] 'Ala' al-Din 'Ali ibn Husam al-Din al-Muttaqi al-Hindi al- Burhanfuri (1985), Kanz al-'Umman fi Sunan al-Aqwal wa al-Af'al, Kitab 'Akhlak Min Qism al-Aqwal no. hadith : 8244. Beirut : Mu'assasah al-Risalah, jilid 3, halaman 629.