Halaman

Bulan Muharram : Siri 1

Posted on 9.12.10 by MUHAMMAD 'IMADUDDIN

Kelebihan Bulan Muharram

Nabi saw menyebut bulan Muharram sebagai bulan Allah bagi menandakan kemuliaan dan kelebihannya. Ini kerana Allah dan Rasul tidak menyandarkan sesuatu kepada Allah melainkan sebagai tanda kelebihan dan kemuliannya berbanding yang lain sebagaimana dinamakan Baitullah yang merujuk kepada Kaabah.

Dari Abu Hurairah r.a. Nabi saw bersabda:

Ertinya :- “Seutama-utama puasa selepas Ramadhan adalah puasa dalam bulan Allah al-Muharram, dan seutama-utama solat selepas solat yang wajib ialah solat malam.”

Hadith ini secara jelas menunjukkan kelebihan bulan al-Muharam termasuk kelebihan puasa di dalamnya menduduki tempat yang kedua selepas kelebihan puasa dalam bulan Ramadhan. Kelebihan ini difahami dari sudut kelebihan bulan Muharram untuk dilakukan puasa sunat di dalamnya berbanding bulan-bulan yang lain selepas Ramadhan. Adapun kelebihan berpuasa dari sudut hari-hari, terdapat beberapa hari yang lebih utama berpuasa di dalamnya berbanding hari-hari dalam bulan Muharram seperti puasa pada hari ‘Arafah dan puasa enam hari dalam Syawal.

Bulan Muharram merupakan salah satu bulan haram yang disebut oleh Allah swt di dalam ayatNya:-


Maksudnya :- “Sesungunya bilangan bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah pada waktu Dia menciptakan langit dan bumi, diantaranya empat bulan haram, iaitulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu… ” (al-Taubah: 36)

Daripada Abi Bakrah daripada Nabi saw:-

Ertinya :- “Satu tahun itu ada dua belas bulan, antaranya empat bulan haram, tiga (dari yang empat itu) berturut-turutan, Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab Mudhar antara Jamadil akhir dan Sya’ban. ” (al-Bukhari dan Muslim)

Mudhar adalah nama satu kabilah Arab, disandarkan bulan Rejab kepadanya sebagai penerangan untuk menghilangkan kesamaran, ini kerana ada perbezaan antara Bani Mudhar dan Bani Rabi’ah dalam menuntukan kedudukan bulan Rejab, Bani Mudhar meletakkan bulan Rejab antara Jamadil Akhir dan Sya’ban, manakala Bani Rabi’ah menjadikan kedudukan itu untuk bulan Ramadhan. Kerana itu Nabi saw menyandarkan bulan Rejab kepada Mudhar. Dikatakan juga kerana Bani Mudhar membesarkan bulan Rejab ini lebih dari bulan-bulan yang lain berbanding kabilah-kabilah lainnya. Dikatakan juga disebabkan orang-orang Arab menamakan Rejab dan Sya’ban sebagai dua bulan Rejab (الرجبين), ada juga pendapat yang mengatakan Nabi SAW menyandarkan Rejab kepada Mudhar disebabkan Jamadil Akhir dan Rejab dinamakan sebagai dua bulan Jamadain dan dinamakan Sya’ban sebagai Rejab. (Sila lihat Syarah Sahih Muslim oleh al-Nawawi)

Allah swt berfirman:-


Maksudnya :- “... maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu ... ” (al-Taubah: 36)

Ini kerana perbuatan menganiayai diri (melakukan dosa) yang dilakukan di dalam empat bulan yang dimuliakan ini lebih berat dan lebih besar dosanya berbanding bulan-bulan yang lain. Qatadah (قتادة) berkata :- “Sesungguhnya penganiayaan diri di dalam bulan-bulan haram lebih besar kesalahannya dan dosanya berbanding bulan-bulan yang lain, dalam keadaan penganiayaan diri (melakukan dosa) itu dalam semua keadaan adalah satu kesalahan yang besar, akan tetapi Allah membesarkannya sesuatu dari urusannya apa yang dikehendakinya.” (Tafisr Ibn Kathir)

Apakah Disunnahkan Puasa Muharram Keseluruhannya?

Dari sudut zahir hadith menunjukkan kelebihan puasa Muharram adalah keseluruhannya. Namun sebahagian ulama memahaminya kelebihan keseluruhan bulan Muharram ini sebagai galakan memperbanyakkan puasa dalam bulan Muharram bukan bermaksud berpuasa penuh di dalamnya. Ini berdasarkan perkataan ‘Aisyah r’anha :-

Maksudnya: “Tidak aku melihat Rasulullah saw menyempurnakan puasa sebulan (penuh) sama-sekali melainkan dalam bulan Ramadhan, dan tidak aku melihat baginda lebih banyak berpuasa dalam satu bulan (tidak berpuasa penuh sebulan) berbanding Sya’ban.” (Riwayat Muslim)


Sumber
: Risalah fi Ahadith Syahr Allah al-Muharram, al-Syeikh Abdullah bin Soleh al-Fauzan.

: Mohamad Abdul Kadir bin Sahak


Anda ingin download risalah ini sila klik di butang download yang telah disediakan :-

Mimbar Jumaat