Halaman

Nasihat Membunuh

Posted on 12.3.12 by MUHAMMAD 'IMADUDDIN

Istilah kutukan dan nasihat adalah dua perkara yang berbeza. Di antaranya akan memberikan kesan yang berbeza kepada pendengar. Kutukan boleh difahami dengan salah satu ucapan atau luahan yang bertujuan untuk menyakiti hati si pendengar.

Nasihat pula boleh kita katakan salah satu ucapan atau luahan yang bertujuan untuk membina. Memberi ajaran atau petunjuk yang baik bagi merubah seseorang kearah yang lebih baik. Manakala kritikan adalah menyatakan pendapat, pandagan atau sikap terhadap sesuatu perkara.

Setiap individu mempunyai dua pilihan ‘mengutuk atau menasihati’ untuk mengkritik sesuatu perkara itu. Tetapi dengan kata mudahnya ramai di kalangan kita suka memilih cara mengutuk berbanding dengan menasihati. Ini kerana ia lebih kepada memikirkan kepuasan dan perasaan diri sendiri berbanding orang lain.

Islam telah banyak menyarankan supaya umatnya berhikmah dalam berkata-kata kerana ia mampu memberi kesan yang mendalam kepada si pendengar. Bagi mereka yang memilih kutukan sebagai satu cara untuk mengkritik. Atas sebab itu mereka percaya bahawa kutukan merupakan salah satu jalan terbaik yang mampu membuatkan seseorang berubah kearah yang lebih baik.

Si pendengar akan terasa lebih tercabar lalu akan berubah dari kurang baik kepada yang lebih baik. Ia benar, tetapi awas! Risiko perlakuan ini amat besar. Ada dua kemungkinan sama ada kita mampu merubah seseorang yang kurang baik menjadi semakin teruk atau seseorang yang kurang baik menjadi seorang yang lebih baik.

Jika kita berjaya merubahnya, syukur alhamdulillah. Bagaimana pula jika sebaliknya? Kita seakan-akan menjadi seorang yang zalim dari satu pandangan kerana telah membuatkan seseorang itu berputus asa untuk kearah yang lebih baik. Kita perlu ingat bahawa menyakiti hati orang lain akan membuatkan hubungan antaranya tidak berapa selesa.


Kasih sayang bertambah kurang dan semakin lebih kurang. Islam juga telah mendidik supaya kita sama kasih mengasihi bagi mengelakkan buruk sangka. Buruk sangka terhadap seseorang akan membawa kepada keburukan.

Tambahan lagi cuba kita hindarkan terdetiknya hati dari menyangka buruk kepada yang Maha Kuasa iaitu Allah SWT. Jauhkanlah diri dari dilaknat oleh-Nya. Terukir kalam Allah di dalam kitabnya :-


Maksudnya :- “Dan supaya Dia menyiksa orang-orang munafiq lelaki dan perempuan dan seorang orang-orang musyriq lelaki dan perempuan yang menyangka terhadap Allah dengan sangkaan yang buruk (bahawa ia akan mengecewakan rasul-Nya). Atas merekalah tertimpanya bala bencana yang di bawa peredaran zaman dan (selain itu) Allah murkai mereka dan melaknatkan mereka serta menyediakan untuk mereka neraka jahanam sedangkan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali”. [Al-Fath; 48:6]


Perlukah mengutuk?

Perlukah kita mengutuk? Sedangkan kita boleh menasihati sambil untuk mengkritik dengan lebih lemah lembut. Islam sangat memelihara akhlak umatnya. Dari pelbagai sudut diambil kira dalam Islam bagi mendidik umatnya walaupun sekecil- kecil perkara.

Cara bertutur yang baik akan dapat member kesan mendalam terhadap diri seseorang itu. Tutur kata seorang ulama mampu membangunkan seorang yang lumpuh. Akan tetapi tutur kata si jahil pula mampu melumpuhkan seorang yang gagah. Kata-kata yang lembut mampu melembutkan hati yang sekeras batu manakala kata-kata yang keras mampu mengeraskan hati yang selembut sutera.