Halaman

Celik di Pagi Hari

Posted on 14.3.12 by MUHAMMAD 'IMADUDDIN

Sekembali berjaga dari tidur pada waktu pagi yang segar terukir di hati berasa sangat bersyukur kepada Allah SWT. Nikmat yang diberi oleh Allah amat bermanfaat bagi manusia yang sentiasa bersyukur. Bersyukur juga adalah tanda terima kasih makhluk kepada Maha Pencipta sekalian alam.

Membuka mata lalu memikirkan akan kewajipan yang telah dipertanggungjawabkan ke atas diri masing-masing. Diri merasa tidak mampu mengalihkan selimut yang berada diatas badan. Lalu melafazkan doa selepas bangun dari tidur :-


Ertinya :- “Segala puji bagi Allah yang menghidupkan kami setelah mematikan kami dan kepada-Nya kami akan kembali”.


Ertinya :- “Tiada Tuhan yang patut disembah melainkan Allah yang Maha Esa dan tidak menyekutukan-Nya. Bagi-Nya kerajaan dan pujian. Dialah yang Maha Kuasa atas segala sesuatu. Segala puji bagi Allah, dan tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah. Allah Maha besar, tiada Tuhan daya dan upaya melainkan denga izin Allah. Ya Allah! Ampunilah aku”.

Tanda kesyukuran kita kepada Allah sudah terbukti dengan memuji-Nya setelah celik kembali di awal pagi. Melangkah kaki ke bilik air bagi mempersiapkan diri untuk berjumpa Allah dengan menunaikan solat fajar. Semoga kita mendapat keredhaan daripada-Nya.

Islam banyak mendidik umatnya dari sekecil-kecil perkara hinggalah sebesar-besar perkara. Sebelum melangkah masuk ke tandas membaca doa :-


Ertinya :- “Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung kepada Mu dari syaitan jantan dan betina”.

Sudah berada di dalam tandas masanya membersihkan diri dengan sebersihnya sebelum menghadapkan diri kepada Allah. Rasulullah s.a.w mengajarkan kita supaya membasuh tangan selepas bangun dari tidur. Sabda Rasulullah :-


Ertinya :- “Apabila seseorang itu bangun dari tidurnya, maka janganlah memasukkan tangannya ke dalam bekas sehingga dia membasuh tangan tiga kali. Maka sesungguhnya dia tidak mengatuhui dimana tangannya berada”. [Riwayat Muslim]


Mengambil wudhu dengan memulakan lafaz basmalah semoga setiap perkara kita lakukan kerana Allah dan diberkati oleh-Nya. Setelah mengambil wudhu dengan tertib terus melangkah keluar tandas dengan bacaan :-


Ertinya :- “Mengharapkan keampunan-Mu. Segala puji bagi Allah yang telah menghilangkan kekotoran dari badan dan menyihatkan kami”.

Lantas itu melafazkan doa selepas berwudhu :-


Ertinya :- “Aku bersaksi tiada Tuhan melainkan Allah yang Maha Esa tidak ada menyekutukan-Nya dan aku bersaksi bahawa Muhammad s.a.w itu hamba dan rasul-Nya. Ya Allah! Jadikanlah aku dari golongon orang yang bertaubat dan jadikanlah aku dari golongon orang yang menjaga kebersihan dan jadikanlah aku dari golongon orang soleh”.

Tambahkan lagi dengan wangian apabila berjumpa dengan Allah SWT. Semoga kita dapat menunaikan solat subuh dengan khusyuk. Berdoalah kepada Allah kerana hanya pada-Nya tempat kita memohon dan merintih.

Alhamdulillah bermula bangun dari tidur sehinggalah kita menunaikan solat subuh sudah banyak amalan yang kita lakukan. Islam adalah agama yang mendidik umatnya bagi mendapat redha Allah serta bahagian di dunia dan akhirat kelak nanti.