Halaman

Persahabatan Sesama Islam

Posted on 24.2.12 by MUHAMMAD 'IMADUDDIN

Persahabatan adalah satu perkara yang kita tidak dapat dijual beli. Sahabat kerana Allah SWT sangat disanjungi. Melihat muka mereka kita dapat merasakan kebahagiaan. Ketika bersama mereka merasai pernambahan ilmu dalam diri. Berjauhan merindui sesama sendiri. Tiba masa senang, merasai bersama dan tibanya susah, hadapi bersama juga.

Persahabatan ini tidak kira kita sama bangsa, kita sama Negeri, kita sama Negara tetapi yang paling utama bersahabatlah kerana Allah. Sedetik di malam yang cukup nyaman dan kesejukan bersama-sama dengan tiga sahabat yang berbangsa Arab Mesir (Egypt). Saling kenal mengenali antara satu sama lain sepertimana firman Allah SWT :-


Maksudnya :- “Wahai umat manusia! Sesungguhnya kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak supaya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya daripada kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu)”. [Al-Hujurat; 49:13]

Sesi suai kenal bermula dengan mengingati nama masing-masing sesama sendiri. Meneruskan pengenalan dengan hal kehidupan. Rupa-rupanya semua masih dalam alam pengajian sepenuhnya. Serba sedikit mengenai sahabat setelah hampir 120 minit bersama :-

Said Ibrahim Ahmad : Kuliah Bahasa Perancis (France), Universiti Al-Azhar.
Ismail Abdul Razak Muhd : Kuliah Pengajian Islam dan Bahasa Arab,
: Universiti Al-Azhar.
Thoha Idris Abdul Jabbar : Kuliah Usuluddin Dakwah, Universiti Al-Azhar.

Dari segi kebanyakan nama bangsa Arab ini tunggal terutama di Mesir (Egypt). Berbeza pula kita di Malaysia, kebanyakan nama kita bersambung. Pada mulanya mereka merasa hairan jika dari kalangan kita tidak menerangkan dengan lebih terperinci.


Pergaulan

Kalimah salam sentiasa terungkap pada setiap bibir mereka. Bila sahaja terpisah di sebabkan benda yang boleh menghalang dari penglihatan sudah tentu member serta menjawab salam berlaku. Rancak berbual antara kami seketika terdiam kerana ketiadaan modal untuk dibincangkan.

Kembali memulakan perbulan dengan lafaz pertanyaan khabar. Permulaan bahasa cukup indah dan perkataan membesarkan Allah dan Rasul-Nya diulangi. Suasana pergaulan merasakan bahagianya bersahabat kerana Allah.

Bergurau senda tidak juga terkecuali, lagikan pula perwatakan Thoha ada gaya kekanakan. Walaupun begitu pemikirannya jauh kehadapan. Apa buktinya? Kita tertanya-tanya bagaimana boleh kita katakan pemikarannya jauh kehadapan?

Penulis : Thoha, kamu Kuliah Usuluddin Dakwah kan?
Thoha : Ya, kuat ingatan kamu. Semoga Allah memuliakan kamu.
Penulis : Sama-sama kita syukur kepada Allah SWT. Apa perancangan kamu selepas tamat
: pengajian Suajana Muda?
Thoha : Insya-Allah saya akan teruskan pengajian secara tidak rasmi (sambilan).
: Lepasan pengajian Islam bukan sahaja boleh menjadi imam masjid semata-mata.
: Kita boleh menjadi seorang peguam syar’i, pelaksana syariat, terlibat dalam
: majlis fatwa dan lain-lain lagi.
Penulis : Alhamdulillah, Insya-Allah hasrat kamu akan tercapai.
Said : Alhamdulillah, doakan supaya kita sama-sama dapat menegakkan agama Allah.
Ismail : Amin. Semoga kita semua diberkati oleh Maha Pencipta iaitu Allah SWT.




Kenangan

Detik kenangan serba sedikit ada yang tidak akan hilang di setiap pemikiran kita. Sudah lama berbual sesama sahabat, Thoha dan Said bangun menghilangkan diri. Seketika waktu kemudian mereka berdua kembali bersama kami sambil membawa sebungkus beg plastik di tangan.

Roti (Aish Baladi) panas dibeli untuk melapik perut kami lagi-lagi pada musim sejuk, perut sentiasa rasa lapar. Kemudian Ismail terus menuju ke kedai untuk menambahkan lagi makanan. Tho’miyyah (sejenis makanan arab Mesir) dan kerepek ubi sudah dibeli oleh Ismail. Tinggal hanya air minuman sahaja belum ada, jadi giliran orang yang terkecualilah membelinya.

Makan bersama dimulai dengan bacaan doa :-


Ertinya :- “Wahai Tuhan kami berkatilah kami dengan rezeki yang engkau berikan kepada kami dan jauhkan kami dari azab api neraka”.

Ketika menjamu selera dalam keadaan kesejukan di malam hari langsung tidak dihiraukan. Sama-sama saling menambahkan makanan tiap makanan antara sahabat yang lain. Sudah selesai menjamu selera rehat seketika untuk memberi ruang pemprosesan perut.

Rasa berat untuk berpisah lagikan pula hanya sebentar sahaja bertemu. Tiba-tiba Said terhembus air yang diminumnya tepat ke seluar salah seorang daripada kami. Said terus meminta maaf kerana dia betul-betul tidak sengaja.

Pertemuan ini harus dipanjangkan lagi. Kami tidak biarkan sahabat yang pakaiannya basah terus pulang. Cuaca sejuk, apatah lagi pakaian basah, mesti terasa lebih sejuk. Kami bersama-sama duduk secara rapat supaya kurang rasa kesejukan sehinggalah pakaian seorang dari kami tadi kering.

Saat perpisahan sudah tiba. Kami bersalaman serta saling mengingati sesama kami bahawa bersahabatlah kerana Allah. Utamakan Allah dan Rasul serta tegakkan agama-Nya. Mengasihi sahabat sepertimana kita mengasihi diri sendiri.


Ertinya :- “Tidak beriman seseorang itu sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri”. [Riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Kata Ulama tidak beriman seseorang itu ialah tidak sempurna iman seseorang itu. Di dalam kitab hadith 40 an-Nawawi yang di syarah oleh Imam Mahyuddin Yahya bin Syarif an-Nawawi bahawa mengasihi saudara ini termasuklah yang kafir dan muslim. Kewajipan kita mengasihi saudara kita yang bukan muslim supaya mereka diberi hidayah oleh Allah untuk menerima dan memasuki agama Islam.