Halaman

Judi Tidak Membawa Kebaikan

Posted on 10.3.11 by MUHAMMAD 'IMADUDDIN

Judi Hanya Bergantung Nasib

Negara yang baik, selamat dan bertamaddun ialah sebuah negara yang mempunyai modal insan yang berkualiti sebagai sumber manusia yang akan menjana pertumbuhan ekonomi cerdas serta berkat dan membina iklim sosial yang aman serta tenteram malah sumber manusia berkualiti ini akan membina kestabilan politik serta pentadbiran negara.

Namun judi akan merosakkan segalanya. Bukan sahaja ia diharamkan oleh Islam malah ia turut ditolak oleh semua agama justeru judi adalah antara kemungkaran tertua di dunia yang menjadi penghalang utama di sepanjang zaman untuk melahirkan generasi yang sihat minda dan cerdas aqal lalu berkeupayaan tinggi untuk mandiri sekaligus menjadi agent utama membangunkan negara.

Judi hanya mengheret pelakunya bergantung pada nasib tanpa rasional dan membunuh nilai usaha ikhtiar yang sepatutnya membangunkan semangat berdikari dalam diri manusia.Akhirnya mereka hanya mempertaruhkan wang ringgit dengan membina istana impian tanpa gigih berusaha. Tambah malang, impian itu tidak pernah kesampaian sehingga ia mati dalam angan-angan yang tidak tergapai dek tangan.

Kelekaan Penagih Judi

Sukar untuk mencari penagih judi yang kaya kecuali segelintir yang sangat terpencil. Kerana mungkin mereka menang besar pada pertaruhan pertama namun ia boleh kalah pula pada pertaruhan kedua lantaran itulah rasmi sebuah perjudian. Begitulah judi mempermainkan penagih judi. Kebanyakan yang menimbun kekayaan ialah taukeh judi yang mengambil kesempatan diatas kelekaan penagih judi ini.

Sang penagih judi yang kehabisan wang tidak akan berhenti diam begitu sahaja. Sama seperti penagih dadah yang sukar menghentikan ketagihannya lalu terpaksa mencari wang dengan meragut, mencuri, merompak malah membunuh jika hasratnya terhalang. Ekoran jenayah tersebut, hasil pula dendam, kebencian, permusuhan sesama manusia malah keruntuhan rumahtangga. Lalu apa untungnya judi pada pembangunan tamadun manusia dan negara?

Benarlah apa yang difirmankan oleh Allah swt di dalam surah al-Maidah ayat 90 - 92 :-


Maksudnya :- Wahai orang-orang Yang beriman! Bahawa Sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) terdiri dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.

Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?

Dan Taatlah kamu kepada Allah serta Taatlah kepada Rasul Allah, dan awaslah (janganlah sampai menyalahi perintah Allah dan RasulNya). oleh itu, jika kamu berpaling (enggan menurut apa Yang diperintahkan itu), maka ketahuilah, Bahawa Sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (perintah-perintah) Dengan jelas nyata.


Berapa banyak kes jenayah yang bertelur dari pusat perjudian. Perkara ini tidak boleh dinafikan dan jangan sesiapa yang cuba untuk menafikan. Jerih ahli politik, akademik dan aktivis sosial berseminar mencari formula mengatasi peningkatan indek jenayah sedang pusat penetasan jenayah ini (industri perjudian) tidak dipandang serius dan berusaha untuk membenterasnya.


Sumber : Ustaz Nasrudin Hassan (Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia)


Anda ingin download risalah ini sila klik di butang download yang telah disediakan :-

Mimbar Jumaat