Halaman

Konsep Penentuan Hari Kebesaran Islam : Siri 1

Posted on 25.11.10 by MUHAMMAD 'IMADUDDIN


Pendahuluan

Penentuan awal bulan Hijriah yang digunakan oleh umat Islam khasnya dalam menentukan awal bulan Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah adalah berdasarkan kepada pergerakan bulan dan bumi mengelilingi matahari. Ia menjadi asas perhitungan awal bulan dan tahun yang mempunyai hubungkait yang rapat dengan ibadah puasa, hari raya dan hari raya korban.

Berdasarkan pedoman yang terdapat di dalam Al-Quran, Hadith dan juga pendapat ulama daripada kitab-kitab muktabar, lahir tiga amalan yang berbeza dalam menentukan awal bulan Ramadhan, Syawal, dan Zulhijjah dengan kaedah berikut :-

  • Rukyah ( melihat anak bulan ) semata-mata
  • Hisab Falak semata-mata
  • Rukyah dan Hisab dengan menggunakan kriteria imkan ar-rukyah iaitu menggunakan hisab dalam menentukan kebolehnampakan anak bulan (Hilal)

Wujudnya perbezaan amalan dan cara di atas, adalah daripada perbezaan dalam memahami dan mentafsir maksud ayat-ayat Al-Quran dan Hadis yang berkaitan.Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan cara penentuan awal Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah dengan rukyah dan hisab berdasarkan kepada kriteria imkanur rukyah.

Dalil-dalil Syara'

Nas Al-Quran dan Hadis banyak menerangkan panduan menentukan awal bulan atau waktu-waktu terutama dalam melaksanakan ibadat.

Firman Allah SWT Surah al-Baqarah ayat 189 :-


Maksudnya : "Mereka bertanya kepadamu tentang bulan sabit. Katakanlah bulan sabit itu adalah tanda-tanda waktu bagi manusia dan bagi ibadah haji..."

Hadis Rasulullah S.A.W. diriwayatkan oleh Imam Muslim dan Bukhari :-

Ertinya : "Berpuasalah kamu kerana melihat Hilal (anak bulan) dan berbukalah kamu kerana kamu melihat Hilal (anak bulan). Bila Hilal (anak bulan) tertutup atasmu, maka sempurnakanlah bilangan bulan Sya'ban tiga puluh hari".

Daripada Kitab Bidayatul Mujtahid dari Juzuk pertama (muka surat 242-243)

Ertinya : “Bila Hilal ditutupi awan, maka ia kembali kepada hisab yang berdasarkan bulan dan matahari, itulah mazhabnya Muttarraf Bin Suhair, beliau termasuk ulama' besar tabi'in dan Ibnu Suraj bercerita daripada Imam Syafie bahawa Imam Syafie berkata; orang yang mazhabnya itu mengambil pedoman dengan bintang-bintang dan kedudukan bulan kemudian jelas baginya menurut dalil tersebut, bahawa bulan telah boleh dilihat tetapi tertutup oleh awan, maka orang tersebut boleh melaksanakan puasa dan cukuplah baginya".

Berdasarkan dalil-dalil Al-quran, Hadis dan pendapat ulama' serta kajian astronomi moden, penyelesaian jalan tengah dengan cara rukyah dan hisab adalah menjadi pilihan untuk diamalkan di Malaysia kerana ia lebih hampir kepada kehendak syarak.

Rasional dari Sudut Matlak (Tempat Terbit) di Malaysia

Kerajaan Arab Saudi menggunakan matlak dengan kaedah rukyah semata-mata, terbuka kepada semua rakyatnya.Sesiapa yang melihat Hilal Zulhijjah boleh melaporkan kepada pihak yang bertanggungjawab atau berkuasa dengan saksi.

Kerajaan Malaysia menetapkan awal bulan Zulhijjah dengan menggunakan kaedah rukyah dan hisab berdasarkan kriteria imkan ar-rukyah dengan mengambil kira matlak negara-negara Menteri Agama Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS). Pada 29 Zulkaedah semua tempat cerapan rasmi sebanyak 26 tempat di seluruh Malaysia akan dicerap oleh Ahli Jawatankuasa Melihat Anak Bulan dengan menggunakan peralatan moden seperti teleskop digital dan teodolit.

Terdapat perbezaan matlak yang jauh diantara Malaysia dan Arab Saudi. Perbezaan waktu antara kedua-dua negara ialah lima jam. Oleh itu ketika Hilal dilihat di Arab Saudi, kedudukan hilal tersebut berada pada kedudukan 1.25° lebih tinggi di Matlak Malaysia.

Bagi rakyat negara Malaysia yang bermazhab Syafie, mereka perlu memahami bahawa setiap negara di dunia ini mempunyai matlak atau kawasan lingkungannya sendiri. Oleh itu Malaysia tidak harus mengikut keputusan cerapan Hilal yang dilaksanakan oleh Arab Saudi.


Sumber
: Jabatan Mufti Negeri Selangor

: Ustaz Mohd Nor Husain (Pensyarah Kolej Islam Sains dan Teknologi)


Anda ingin download risalah ini sila klik di butang download yang telah disediakan :-

Mimbar Jumaat