Halaman

Bulan Zulhijjah : Siri 2

Posted on 18.11.10 by MUHAMMAD 'IMADUDDIN

Kelebihan korban

Pahala Korban adalah jauh lebih hebat dari bersedeqah harganya sahaja. Ia adalah fatwa oleh majoriti ahli ilmu seperti Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafie, Imam Ahmad dan lain-lain [1]

Adalah diingatkan juga agar meniatkan korban itu adalah kerana Allah SWT semata-mata, menuruti sunnah Nabi SAW dan Nabi Ibrahim a.s dan bukannya untuk menyedeqahkan daging atau lain-lain niat.

Firman Allah :-


Maksudnya : Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keredhaan) Allah, tetapi ketakwaan dari kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik. (Al-Hajj : 37)

Rasulullah SAW juga telah bersabda :-

Ertinya : “Barangsiapa yang memiliki kelapangan (harta) namun tidak mahu berkorban, maka janganlah dia sekali-kali mendekati tempat solat kami.” (Sohih Ibnu Majah ; no. 2532).

Kongsi Unta, Lembu atau Kerbau

Harus hukumnya menurut majoriti ulama untuk berkongsi seekor unta, lembu atau kerbau dengan dibahagikan kepada tujuh bahagian atau seekor kambing berdasarkan hadith Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Jabir r.a. [2]

Adalah digalakkan juga untuk menyembelih sendiri (jika berkemampuan) atau menghadiri majlis sembelihan.

Sebuah riwayat hadith pernah mencatatkan nasihat Nabi SAW kepada Fatimah yang ingin berkorban :-

Ertinya : "Hadirkanlah dirimu di waktu sembelihan, diampunkan bagimu dari titisan darah sembelihanmu yang pertama"

Pembahagian daging

Daging korban yang telah siap dilapah bolehlah dibahagikan SEPERTI BERIKUT :

  • 1/3 (sepertiga) kepada tuan rumah yang berkorban.
  • 1/3 (sepertiga) kepada faqir miskin termasuklah jirannya dan saudara mara.
  • 1/3 (sepertiga) kepada sesiapa yang memintanya.

Ia berdasarkan firman Allah SWT :-

Maksudnya : "Dan makanlah ia, dan berikanlah ia kepada orang yang susah dan faqir." (Al-Haj : 28) dan juga firman Allah :

Maksudnya : "Dan makanlah ia, dan berikanlah kepada orang yang memintanya dan yang tidak memintanya" (Al-Haj : 36)

Inilah yang dilakukan oleh Nabi SAW sebagaimana riwayat Ibn Abbas r.a dan Ibn Umar r.a. Namun demikian HARUS (DIBENARKAN) untuk tidak mengikut cara pembahagian ini, SAMADA UNTUK MAKAN KESELURUHANNYA ATAU KEBANYAKKANNYA [3] .

Bagaimanapun DILARANG untuk memberikan tukang-tukang lapah dan penyembelih upah atas usahanya (iaitu dengan ditetapkan dari awal), bagaimanapun ia harus jika dia termasuk dari kalangan faqir miskin atau diberikan secara sukarela orang ramai sebagai hadiah.

TIDAK DIBENARKAN juga sepakat ulama untuk menjual dagingnya.

Namun tidak sepakat berkenaan penjualan kulit, bulunya dan tulang hasil Korban. Majoriti mazhab termasuklah mazhab Syafie tidak membenarkan [4] .

DIBENARKAN untuk menyimpan daging-daging korban walaupun melebihi tiga hari berdasarkan hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Muslim.

Memberi daging korban kepada orang kafir

Ulama berbeza pendapat dalam hal ini, sebahagian mazhab mengatakannya HARAM, ada yang mengatakannya MAKRUH dan Mazhab Hanbali, Hanafi mengatakannya sebagai HARUS kerana ia bukannya sedeqah wajib [5]

Namun tiada khilaf, mendahulukan umat Islam adalah lebih utama dalam hal ini.


Sumber

: Ustaz Ahmad Fadhli Shaari



: Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman

------------------------------

[1] Al-Majmu, 8/425 ; Al-Mughni, 9/436.

[2] Al-Majmu, An-Nawawi, 8/313.

[3] Al-Mughni, Ibn Qudamah, 5/200.

[4] Bidayatul Mujtahid, Ibn Rusd Al-Hafid, 1/321 (cet. Maktabah al-Riyadh al-Hadithiyah) ; Rawdah At-Tolibin, An-Nawawi, 3/225.

[5] Al-Mughni, Ibn Qudamah, 5/201.


Anda ingin download risalah ini sila klik di butang download yang telah disediakan :-

Mimbar Jumaat