Halaman

Bulan Zulhijjah : Siri 1

Posted on 11.11.10 by MUHAMMAD 'IMADUDDIN

Kelebihan Zulhijjah

Bulan Zulhijjah, khususnya sepuluh hari awalnya adalah merupakan peluang kedua selepas Ramadhan untuk umat Islam mendapatkan gandaan keredhaan, keampunan dan pahala amalan.

Disebutkan oleh Nabi SAW :-

"Sebaik-baik hari di dunia adalah sepuluh hari itu" - (Riwayat al-Bazzar ; Albani : Sohih).

Allah SWT pula berfirman di dalam Surah Al-Fajr, ayat 1 dan 2 :-


Maksudnya : “Demi Fajar dan hari-hari yang sepuluh”

Majoriti ulama menyatakan hari sepuluh itu merujuk kepada hari pertama hingga sepuluh Zulhijjah dan bukannya sepuluh terakhir Ramadhan. (Ibn Abbas, Ibn Zubair, Zad Al-Ma'ad, Ibn Qayyim, Mujahid dan kebanyakan ulama salaf).

Ia juga disebut oleh Rasulullah SAW dalam hadith lain :-

"Tiada hari-hari yang lebih disukai oleh Allah SWT untuk hambanya memperbanyakkan amalan dari sepuluh hari ini" (Riwayat Al-Bukhari).

Rasulullah SAW turut menukilkan kemuliaan amalan di dalam tempoh ini di dalam sabdanya :

Ertinya : “Tidak ada amalan di hari-hari yang lebih utama dari amalan pada hari-hari ini (10 hari pertama bulan zulhijjah), lalu sahabat-sahabat bertanya : Adakah begitu juga jika dibandingkan dengan jihad? Rasulullah SAW menjawab : Ya, jika dibandingkan dengan jihad sekalipun. Melainkan seseorang yang keluar menggadai dirinya dan hartanya lalu tidak pulang selama-lamanya (mati syahid)” – (Riyawat Bukhari, Abu Daud dan Tirmizi).

Berpuasa

Amat digalakkan berpuasa pada satu hingga sembilan Zulhijjah bagi orang yang tidak menunaikan Haji. Hari Arafah (sembilan Zulhijjah ) pula adalah hari yang terbaik untuk berpuasa.

Rasulullah SAW bersabda tentang kelebihan hari Arafah :-

"Tiada hari yang lebih banyak Allah SWT membebaskan hambanya lebih dari hari Arafah" - (Riwayat Muslim).

Rasulullah SAW juga bila ditanya tentang kelebihan berpuasa pada hari Arafah ini :-

Ertinya : “Puasa Arafah, saya mengharapkan kepada Allah agar mengampuni dosa setahun sebelumnya dan setahun setelahnya…” – (Riwayat Muslim)

Potong kuku dan rambut

Hukum berkorban adalah sunat muakkad (yang dituntut) bagi orang yang mempunyai lebihan dan kemudahan harta. Demikian pendapat majoriti ulama termasuklah sahabat besar seperti Abu Bakar as-Siddiq r.a, Umar al-Khattab r.a, Ibn Mas'ud r.a dan lain-lain, kecuali Imam Abu Hanifah berpendapat ianya WAJIB bagi mereka yang berkemampuan [1] .

Bagi menggandakan pahala korban, seseorang yang sudah berniat awal untuk melakukannya digalakkan menahan diri dari memotong rambut dan kuku. Ia berdasarkan hadith riwayat Muslim yang sohih, iaitu :-

Ertinya : Barangsiapa yang ingin menyembelih ( berkorban ), dan telah masuk sepuluh awal Zulhijjah, maka janganlah dia memotong apa-apa rambut atau kukunya sehinggalah sampai korban dilaksanakan" - (Riwayat Muslim, 3/39 )

Rasulullah juga bersabda :-

Ertinya : Apabila kamu melihat anak bulan Zulhijjah dan salah seorang daripada kamu ingin mengerjakan korban, maka tahanlah dari (memotong) rambutnya dan kukunya. (Riwayat Muslim)

Justeru, majoriti ulama dari mazhab Maliki, Syafie dan sebahagian Hanbali menyatakan makruh hukumnya bagi melanggarnya.

Bagaimanapun ia tiadalah termasuk dalam kategori haram kerana Aisyah r.a pernah meriwayatkan bahawa beliau pernah menempah (menandakan dan membeli binatang) dan diniatkan untuk dilakukan korban, dan Aisyah r.a menyebutkan, tiadalah Rasulullah SAW mengharamkan apa-apa (semasa menunggu masa untuk menyembelih) sehinggalah sampai waktu sembelihan. Hadis tersebut adalah sohih riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Oleh itu, adalah dibenarkan untuk memotong kuku jika ia boleh mengganggu kesempurnaan wudhu dan lain-lain kewajiban.


Sumber

: Ustaz Ahmad Fadhli Shaari



: Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman

------------------------------

[1] Al-Mughni, Ibn Qudamah, 5/ 197


Anda ingin download risalah ini sila klik di butang download yang telah disediakan :-

Mimbar Jumaat